PRASARANA edar 150,00 kupon percuma hingga 22 September
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Bebas Kereta Sedunia Khamis ini, Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) mengedarkan 150,000 kupon percuma
yang sah digunakan untuk perjalanan sehala Transit Aliran Ringan (LRT)
dan KL Monorel pada Sabtu, Ahad dan cuti umum dalam tempoh setahun.
Melalui
kempen ‘Kurang Kenderaan, Kurang Pencemaran’ itu, semua kupon itu
diedarkan secara berperingkat mulai semalam dan berakhir 22 September
tahun depan. Pengerusi PRASARANA, Tan Sri Ismail Adam, berkata pelbagai
program diatur sepanjang kempen setahun itu, berteraskan kepada menanam
kesedaran untuk tidak menggunakan kenderaan bagi mengurangkan
pencemaran.
“Saya berharap sokongan kepada kempen bebas kereta
ini tidak hanya berjalan satu hari saja malah diterapkan sepanjang masa
oleh semua masyarakat.
“Selain itu, orang ramai juga digalakkan
untuk menunggang basikal dan menggunakan sepenuhnya kemudahan meletak
basikal yang disediakan di 17 stesen LRT antaranya Kelana
Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya,
Universiti, Abdullah Hukum, Kampung Baru, Damai, Dato’ Keramat dan
Jelatek, ” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan
itu, katanya, kupon yang diedarkan sah untuk digunakan bagi kedua-dua
laluan LRT Ampang dan LRT Kelana Jaya serta Monorel untuk hari Sabtu,
Ahad dan cuti am malah potongan harga tambang bagi Januari hingga
September 2012 akan turut diperkenalkan bersempena kempen terbabit.
“Kami
juga akan mengedarkan pelekat kereta khas yang melayakkan pemilik
kenderaan bertuah menerima hadiah Rapidpass bernilai RM100 dalam
peraduan ‘Spot The Sticker Contest’ yang turut berlangsung selama satu
tahun.
“Pihak kami akan berganding bahu dengan pelbagai
kementerian, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti awam
serta swasta dalam mengatur beberapa program berterusan di stesen LRT,
Monorel dan Hab bas, ” katanya.
Selain itu, Pasar Kreatif di
stesen LRT dan KL Monorel terpilih akan menjual barangan cenderahati
kitar semula yang dihasilkan oleh persatuan kebajikan, ibu tunggal dan
badan bukan kerajaan.
sumber: berita harian 21/9/2011
No comments:
Post a Comment